Doa Jumaat Saya

Dengan Bismillah,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah.Menjelang lima hari persekolahan dan kini sudah pun berada pada Hari Jumaat.Tahun ini, sebagai seorang guru, hati dan perasaan saya sering sahaja berasa hiba tatkala memandang anak-anak kecil di hadapan saya.Entah kenapa saya kerap benar tersentuh dengan perlakuan dan sikap luhur dan lurus mereka.

Hasil carian imej untuk gambar anak kecil di sekolah

Melihat mereka, samalah seperti saya melihat anak-anak saya.Merasakan harapan ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi saya "merasa" harapan saya-

Semalam, sebaik sahaja seorang anak kecil saya meninggalkan kelas bersama ibu dan bapanya, saya tiba-tiba sahaja berasa sebak.Macamlah dia tidak akan datang pada esoknya.Mungkin kerana dugaan yang dihadapi membesarkan anak kecil itu, saya berasa sayu tatkala memandang wajah bapanya.

Wajah seorang bapa yang amat-amat sayang dan percaya anaknya akan membesar sebagai anak yang hebat.Namun, hakikatnya dia sendiri sedang berperang perasaan menantikan keputusan pemeriksaan kesihatan anak kecilnya itu-yang tidak diketahui masalah kesihatannya.

Hasil carian imej untuk gambar anak kecil di sekolah

Semalam itulah, tatkala anak kecil itu bersalaman dengan saya , saya peluk erat tubuhnya.Saya teringat waktu di mana saya marah, saya tidak sabar dan saya buat anak kecil saya sendiri menangis-saat itu, terasa besarnya salah saya kerana dalam keadaan anak kecil saya Allah bagi segala kesempurnaan dan kesihatan, saya masih banyak merungut dan mengeluh.

Masih kurang mengucapkan syukur dan tidak sabar melayan kehendak dan kemahuan mereka.Ah, ibu apakah saya ini? Di mana saya letak rasa syukur saya apabila mereka tidak pernah menyusahkan saya dengan segala masalah sakit dan lelah.?

Hasil carian imej untuk gambar murid di sekolah

Ya, selain dimurahkan rezeki dengan cahayamata seramai lima orang, anak-anak saya juga jarang sekali dihidapi dengan penyakit demam berpanjangan atau masalah sakit lain yang menduga.Mereka juga pintar membaca dan mengaji.Malah, dalam usia 12 hingga yang kecil 3 tahun, saya sudah boleh didik dan bimbing mereka berdikari dan segala hal yang saya mahu mereka cepat matang dan bertanggungjawab.

Melihat anak-anak kecil di sekolah itu, sebenarnya hanya mengingatkan saya akan kurangnya saya dalam bersyukur kepadaNya.Ampuni hambaMu ini, Tuhanku...

Doa saya pada Jumaat yang mulia ini, semoga Tuhan mengajari dan memberi petunjuk kepada saya dalam menjadi hambaNya yang banyak dan tahu bersyukur..aamiin.

Post a Comment

0 Comments